KPJ Newsletter

Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang didik kanak-kanak jaga kebersihan

Posted on 01:37PM, 21 August, 2018

Kira-kira 30 kakitangan taska itu serta tenaga pakar dari hospital bersama-sama memberi penerangan dan pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak. Usaha ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada pihak ho

2018-08-21


JOHOR BAHRU 20 Ogos - Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang mengadakan program kesedaran tentang penjagaan kesihatan serta kebersihan diri bagi mengelak penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam kalangan
kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Azhar Abdulllah berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) diadakan di Taska Kyrana Pasir Gudang itu merupakan inisiatif pihaknya meningkatkan tahap kesedaran serta mempromosikan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

Beliau berkata, program kesedaran itu melibatkan 60 kanak kanak pusat tersebut dengan memberi pendedahan terhadap aspek kebersihan seperti cara mencuci tangan dengan betul sebagai salah satu langkah pencegahan penyakit berkenaan.

"Kira-kira 30 kakitangan taska itu serta tenaga pakar dari hospital bersama-sama memberi penerangan dan pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak. Usaha ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada pihak hospital untuk memupuk kesedaran menerusi ilmu tentang HFMD

"Lokasi seperti taska dipilih kerana kanak-kanak di sini terdedah dengan peralatan atau taman permainan yang sering digunakan. Jadi, aspek penting menerusi cara mencuci tangan dengan betul dan persekitaran yang bersih dapat menghindari penularan penyakit tersebut," katanya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Doktor Pakar Kanak-kanak hospital berkenaan, Dr. Aziz Rahman Ibramsha dan Pengusaha Taksa Kyrana, Azizah Ayob.

Mohd. Azhar berkata, pihaknya akan meneruskan jelajah ke taska atau tadika dari semasa ke semasa bagi memberi pendidikan kesihatan kepada kanak-kanak, penyelia pusat jagaan dan pengasuh tentang kepentingan kebersihan diri dan premis serta disinfeksi.

Sementara itu, Dr. Aziz Rahman memberitahu, jumlah kes HFMD yang dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang meningkat menjadi 50 kes sejak awal tahun hingga Julai lalu berbanding 45 kes bagi tempoh sama pada tahun lalu.

"Statistik tersebut menunjukkan peningkatan mendadak ketika penularan penyakit itu pada bulan Jun hingga Ogos dengan sebanyak 25 kes dilaporkan," katanya.- Utusan Malaysia