KPJ Newsletter

Kerjasama hospital swasta - kerajaan berpotensi sedia khidmat lebih baik kepada rakyat

Posted on 04:30PM, 7 March, 2019

KUALA LUMPUR, 8 Mac (BERNAMA) -- Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan pihak swasta dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata beliau memandang ke hadapan untuk mewujudkan persefahaman dan kerjasama dengan pihak swasta agar semua golongan rakyat dapat menikmati kemudahan teknologi perubatan serba moden yang terdapat di sektor swasta.

“Andainya jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dapat direalisasikan, ia juga memberi ruang kepada KKM untuk berkongsi akses kepada fasiliti-fasiliti canggih ini bersama rakyat,” katanya kepada media selepas merasmikan Unit Penjagaan Rapi Dewasa (ICU) dan Neonatal (NICU) Hospital Pakar KPJ Damansara semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden merangkap Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Pengarah Perubatan, Hospital Pakar KPJ Damansara Dr Rozman Md Idrus.

Pencapaian pihak swasta yang mampu memiliki peralatan perubatan yang moden dan berteknologi canggih kini berupaya untuk menangani kes-kes rumit seperti kes kelahiran bayi pra-matang yang dahulunya sering dirujuk ke pakar perubatan di hospital kerajaan.

Hospital Pakar KPJ Damansara kini mampu menempatkan seramai 12 orang pesakit dalam satu masa dan merupakan hospital yang memiliki jumlah katil ICU tertinggi dari semua hospital di bawah kumpulan KPJ Healthcare Berhad.

Manakala unit NICU pula menyediakan pengkhususan rawatan yang lebih baik dan mesra pesakit untuk semua jenis kes bayi pra-matang dengan bantuan kelengkapan mesin perubatan yang terkini.

— BERNAMA